86938

Stacy Kembali Dengan Raja - Suria FM - Segalanya Hiburan

Penyanyi wanita yang sentiasa beraksi lincah dan penuh bertenaga di atas pentas kelahiran Penampang, Sabah, Ummu Shaikah Stacy Binti Anam atau lebih terkenal dengan nama Stacy muncul dengan single terbaharu selepas kejayaan single comeback ‘Cakap Ke Tangan’ pada bulan Oktober tahun lepas. Stacy kembali dengan sebuah lagu bergenre dance-pop berjudul ‘Raja’ yang lebih menyengat dicipta serta diterbitkan oleh penyanyi dan komposer sedang meningkat naik, Hael Husaini dan Ezra Kong.

Stacy yang juga merupakan ratu tari Malaysia, pernah memenangi beberapa anugerah selain menyandang pelbagai gelaran sepanjang karier seninya. Tetap dengan genre yang melonjakkan namanya, isteri kepada Akim Ahmad ini berkata, “Setelah mendirikan rumahtangga bersama suami tercinta dan dikurniakan cahaya mata, saya nekad untuk kembali beraksi demi peminat-peminat yang rindukan buah tangan terbaharu daripada saya.

Alhamdulillah, single comeback saya ‘Cakap Ke Tangan’ diterima baik oleh semua dan ia merupakan pemangkin untuk saya terus berkarya di dalam industri muzik tanah air.

Masih mengekalkan genre dance-pop, saya mendapat lagu sentuhan saudara Hael Husaini serta Ezra Kong dan mengharapkan ‘magis’ sepertimana lagu-lagu yang pernah mereka ciptakan.

Sejujurnya, single ini sepatutnya dikeluarkan lebih awal tetapi kerana kekangan masa serta jadual yang sangat padat kedua-dua belah pihak ia tertangguh tetapi akhirnya berjaya disiapkan dan saya sangat berpuas hati dengan hasilnya.”

Mengulas lanjut mengenai lagu ‘Raja’, Stacy menerangkan “Single ini menceritakan tentang perasaan seorang wanita yang memartabatkan kekasihnya umpama ‘raja’ dan sanggup berbuat apa sahaja untuknya. Akan tetapi, ‘raja’ yang bertakhta di hati saya tentulah suami saya dan saya pasti wanita-wanita di luar sana ada ‘raja’ mereka sendiri.”

Selain itu, ditanya bagaimana Stacy berjaya mengekalkan populariti dari dahulu hingga sekarang, jawabnya,
“Saya percaya kita perlu ikhlas dalam melakukan apa jua pekerjaan dan sebagai penghibur, saya selalu ingin hasilkan yang terbaik untuk peminat-peminat saya serta penggemar muzik di luar sana.

Kita perlu berfikiran positif dan sentiasa bersifat terbuka dan paling penting, perlu enjoy dengan apa yang kita lakukan.

Dorongan serta sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan industri serta peminat-peminat amat penting sebagai motivasi dan semangat untuk terus berada di dalam bidang ini.

Saya berharap agar lagu ini mendapat respon yang positif sebagaimana lagu-lagu saya yang terdahulu dan terima kasih di atas sokongan anda selama saya bergelar penyanyi.”

Lagu ‘Raja’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music bermula pada 11 Mei 2018. Video lirik dan muzik lagu ‘Raja’ ini juga boleh di tonton di saluran Youtube Rocketfuel Network.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!