86878

Sudah 2 Tahun Tidak Berlakon, Nama Arja Lee Dihalang Stesen TV Swasta? - Suria FM - Segalanya Hiburan

Lama juga tidak melihat kelibat pelakon kacak iaitu Arja Lee di kaca televisyen. Sebelum ini Arja pernah meledak popular dengan drama Ariana Rose dan Misiku Kuza.

Beberapa tahun lalu Arja juga sempat menjadi buah mulut netizen dek video seksinya menimang bola tular di media sosial.

Berkesempatan bertemu Arja di majlis berbuka puasa anjuran The Celepets di Sunway Nexis semalam, SURIA sempat berborak dan bertanya khabar kepada Arja yang merupakan pengacara pada majlis itu.

Kata Arja dia kini sedang sibuk melanjutkan pelajarannya di peringkat Master di sebuah universiti dalam jurusan psikologi teater selain sibuk memenuhi undangan mengacara dan menyanyi.

Ditanya tidakkah dia merindui bidang lakonan? kata Arja, sudah lebih dari dua tahun dia tidak berlakon malah dia turut mengakui sangat merindui untuk kembali ke set penggambaran.

“Saya pun tidak tahu di mana silap saya. Nama saya telah dihalang oleh sebuah stesen swasta setiap kali nama saya diusulkan untuk membintangi sesebuah drama.

Pernah satu ketika saya telah menolak satu tawaran drama dari stesen itu. tetapi saya bukan sengaja menolak, sewaktu itu saya sudah terikat dengan penggambaran drama di sebuah lagi stesen televisyen swasta”, jelasnya.

 

Tambah Arja lagi, sejak dari kejadian itu, namanya sering di ‘reject’ oleh stesen swasta itu setiap kali ada produksi yang mencadangkan namanya.

Disebabkan situasi itu juga, Arja pernah membuat keputusan untuk mencuba nasib sebagai pelakon di Indonesia. Namun dia terpaksa batalkan hasratnya itu kerana tidak sanggup berjauhan dengan ayahnya yang sedang sakit.

Biarpun tidak muncul dengan sebarang drama, namun rezeki Arja tetap murah dalam bidang pengacaraan serta nyanyian. Malah bisnes biskut rayanya juga masih mendapat permintaan tinggi.

“Alhamdulillah, mungkin buat masa ini Allah tarik rezeki saya dalam bidang lakonan tetapi Dia beri rezeki saya di cabang yang lain. Saya juga perlu sentiasa positif. Saya masih aktif di media sosial dan tidak pernah terfikir langsung untuk hilangkan diri”, ujarnya.

Pernah popular dnegan filem kontroversi Anu Dalam Botol, Arja kini dalam perancangan untuk menerbitkan filem Anu Dalam Botol 2. Namun perkara itu masih dalam perancangan.

SURIA doakan semoga selepas ini wajah Arja dapat kembali mewarnai drama tempatan di kaca televisyen Malaysia. Bukannya apa, SURIA rasa Arja seorang pelakon yang berbakat dan mempunyai pakej yang lengkap. Sayang kalau bakat itu disia-siakan. Kita pun dah masuk ke era Malaysia yang baharu. Semoga ada rezeki Arja nanti ya. Sama-sama kita doakan.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!