72781

Sufi Rashid Terus Melangkah Dengan ‘Aku Sendiri’ - Suria FM - Segalanya Hiburan

rocketfuelent-391

Juara Akademi Fantasia AF2015 yang baharu sahaja memenangi ‘Lagu Paling Popular di Anugerah Planet Muzik 2017’ di Singapura dan salah seorang peserta AF Megastar, Sufi Rashid kembali menghangatkan industri muzik tanah air selepas menerima sambutan luar biasa menerusi single ‘Aku Sanggup’ yang memperoleh hampir 11 juta tontonan di laman sesawang YouTube.

Kini, lebih bersemangat dan yakin, Sufi kembali dengan single terbaru berjudul ‘Aku Sendiri’ hasil ciptaan bersama penyanyi serta komposer muda berbakat besar, Haqiem Rusli.

Setelah menjuarai AF2015, bintang Sufi kian menyerlah dengan single pertama ciptaannya sendiri iaitu ‘Kisah Dua Muka’ dengan tontonan melebihi 4 juta di laman sesawang YouTube. Bermula dari single pertama, nama Sufi Rashid semakin melonjak dengan terlahirnya single kedua ‘Aku Sanggup’ yang ternyata mendapat tempat di hati penggemar-penggemar muzik tempatan ditambah pula dengan genre balada rock yang dibawanya lalu menjadi hit di beberapa stesen radio tanahair dengan permintaan yang tinggi dan paling membanggakan apabila turut tercalon di dalam Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-32 di mana beliau telah berentap sebarisan penyanyi-penyanyi terkemuka negara.

Kehebatan vokal yang dimiliki Sufi sememangnya tidak dapat dinafikan lagi sejak beliau mula diperkenalkan melalui AF2015 dan pada single-single terdahulu, Sufi menyanyikan setiap patah perkataan dengan begitu mendalam dan seakan ‘terasa’ apabila mendengarnya. Jika dengan single ‘Aku Sanggup’, ia menceritakan tentang kesanggupan seorang lelaki dalam mempertahankan cintanya terhadap wanita yang disayanginya walaupun terpaksa merayu dan melutut demi meminta peluang kedua daripada bekas kekasihnya tetapi dengan single ‘Aku Sendiri’, ini jelas Sufi, “Single ‘Aku Sendiri’ merupakan kesinambungan single ‘Aku Sanggup’ di mana pada lagu terdahulu, sang kekasih merayu agar dirinya diterima semula dan diberi peluang kedua tetapi dalam ‘Aku Sendiri’ ia merupakan fasa seterusnya apabila cintanya ditolak dan terpaksa berhadapan dengan kekecewaan setelah tidak berjaya memujuk hati teman wanitanya lalu dirinya ditinggalkan sendirian untuk meneruskan kehidupan.

rocketfuelent-400

Saya suka berkarya dan menterjemahkannya dalam lagu, dan menerusi single ‘Aku Sendiri’ ini saya mendapat bantuan penyanyi muda sedang meningkat naik iaitu Haqiem Rusli kerana bakat yang dimilikinya dalam penghasilan lagu. Kami mengambil masa selama 2 minggu untuk memastikan setiap proses dari mencipta melodi ke penulisan lirik sehinggalah rakaman di studio berjalan lancar kerana saya mahukan hasil kerja yang teliti dengan mempunyai kriteria sendiri terhadap lagu yang dihasilkan serta mempunyai signature Sufi Rashid.”

Komen Sufi mengenai kolaborasi bersama Haqiem, “Haqiem merupakan seorang anak muda berbakat besar dengan sifat ingin tahu yang sangat mendalam, sifat itu yang membuatkan beliau sangat berdedikasi dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Selain itu, Haqiem banyak mengingatkan saya sewaktu saya seusianya di mana setiap pendapat yang diberikan diterima baik dan dari situ beliau terus belajar untuk memperbaiki mutu dalam penciptaan lagu khususnya. Kami juga berkongsi citarasa muzik yang sama dan itu membuatkan kerjasama ini lebih seronok dan penuh bermakna.
Walaupun saya masih baharu di arena muzik Malaysia, saya amat bersyukur dengan segala kejayaan yang telah dikecap dan penerimaan orang ramai terhadap muzik saya. Saya juga berharap agar kejayaan single terdahulu dapat diteruskan dengan ‘Aku Sendiri’ atau lebih baik lagi.”

Menurut Adam Lobo, Ketua Label Muzik, Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. Single ‘Aku Sendiri’ merupakan lagu yang memaparkan Sufi sebagai seorang artis sebenar kerana beliau telah berjaya menterjemahkan setiap emosi ke dalam lagu yang diciptanya dengan begitu berkesan sekali.

Selain itu, ia merupakan kesinambungan yang tepat terhadap single ‘Aku Sanggup’ dan kami di Rocketfuel Entertainment percaya bahawa lagu ini bakal melonjakkan lagi nama Sufi Rashid sebagai seorang artis yang disegani.”

Single ‘Aku Sendiri’ ini diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. dan bakal menemui peminat-peminat di corong-corong radio seluruh Malaysia bermula pada hari ini.

rocketfuelent-389

Lagu ini juga boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!