“Saya boleh terima kritikan sebab secara tak langsung boleh memperbaiki diri. Tapi kalau sudah lebih had hingga mencaci dan memaki yang dilemparkan di laman sosial, saya akan terus sekat mereka. Buat apa kita perlu isi hari kita dengan membaca komen-komen negatif yang hanya suka lihat kita jatuh? Rezeki datang daripada Tuhan. Siapalah saya nak menolak rezeki yang hadir. Begitu juga dengan anugerah yang saya terima, itu hasil usaha saya dan tak lupa peminat yang menyokong.”

Bukan itu sahaja, ada juga sesetengah artis yang kurang senang dengan apa yang diperolehi oleh AJ dan menganggap segala trofi yang diterima seperti tidak berbaloi. Apa komen AJ tentang isu ini? Jom kita baca.

“Saya tidak boleh bercakap banyak tentang tanggapan rakan artis lain terhadap saya sebab itu mungkin pandangan dan pendapat mereka. Perkara ini agak sensitif untuk diulas. Saya layan semua artis sama sahaja dan seandainya ada kekhilafan, saya mohon maaf. Bagi saya, setiap anugerah ini datang daripada hasil usaha saya juga. Kalau tidak, tak mungkin peminat gigih mengundi.”

“Jujurnya saya seorang yang suka buat hal sendiri dan tak campur orang tapi tak bermakna saya sombong. Saya tak memilih dalam berkawan malah saya akui tak ramai kawan dalam kalangan artis pun. Hadir majlis anugerah pun seorang diri sejak dua tahun lalu. Jangan ada niat tidak suka kepada seseorang, kalau ada silap tegurlah dengan cara baik. Kita bekerja dalam satu lapangan seni, tak elok rasanya ada perasaan saling benci membenci. Industri ini kecil sahaja. Kalau saya sendiri tak ada perasaan benci kepada seseorang maka individu tersebut pun kena ada sikap yang sama.”