89491

“Tak Semestinya Saya Akan Menang” – Khai Bahar - Suria FM - Segalanya Hiburan

Populariti yang diraih oleh penyanyi yang mula dikenali melalui aplikasi Smule iaitu Khai bahar memang tidak dapat disangkal lagi.

Setiap kali ada anugerah yang melibatkan undian peminat, nama Khai Bahar pasti tidak akan terlepas daripada membawa pulang trofi sebagai pemenang.

Terbaru penyanyi lagu Jodohku ini sekali lagi tercalon sebagai Penyanyi Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2018. Nama Khai antara yang disebut-sebut mampu mengulang kembali kejayaannya tahun lalu, malah ada yang menjangkakan jejaka yang berasal dari Perlis itu akan merampas gelaran Fattah Amin sebagai Artis Paling Popular.

“Untuk ABPBH, saya sukar untuk meramalkan kerana ia masih dengan format undian dari peminat. Saya hanya mampu berdoa supaya peminat-peminat saya ringan tangan untuk mengundi. Untuk menang Artis Paling Popular saya rasa tidak semestinya kerana semuanya masih bergantung kepada undian peminat”, jelasnya ketika ditemui di majlis pengenalan telefon pintar Oppo F9 di Sunway Pyramid.

Apabila nama Khai Bahar tercalon dalam sesuatu kategori, artis lain yang turut tercalon bagaikan sudah dapat menduga peluang mereka untuk menang adalah tipis berdasarkan rekod cemerlang Khai Bahar sebagai pemenang anugerah.

“Mereka tidak seharusnya berasa sebegitu dan perlu lebih relaks kerana tidak semestinya saya akan menang tahun ini. Tapi apa-apa pun mereka boleh menyuruh peminat-peminat mereka supaya tidak lupa untuk mengundi”, ujarnya.

Tahniah kepada Khai Bahar kerana tercalon untuk ABPBH2018. Jika ada rezeki tidak mustahil Khai akan membawa pulang trofi Artis Paling Popular tahun ini.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!