89041

The Darkest Minds Bakal Diminati Golongan Muda - Suria FM - Segalanya Hiburan

Hampir sedekad yang lalu, golongan muda-mudi seluruh dunia pernah jatuh cinta dengan watak-watak pontianak serta serigala jadian dalam himpunan filem Twilight. Koleksi filem tersebut mencetus sebuah fenomena dan berjaya mengumpul jutaan peminat yang mengikuti alur cerita lewat novel dan juga filem-filemnya.

Dan kini muncul sebuah lagi filem sains fiksyen yang mungkin dapat mengulangi kejayaan seperti filem Twilight. The Darkest Minds merupakan sebuah filem yang turut diadaptasi daripada sebuah novel bersiri nukilan Alexandra Bracken yang menawarkan jalan cerita menarik di samping pelakon-pelakon tempan dan cantik untuk menarik minat serta perhatian penonton yang lebih muda.

Filem ini berkisar sekumpulan anak muda yang hidup di dalam amsa depan yang berbeza di mana kebanyakan kanak-kanak serta remaja tiba-tiba menghidapi sejenis penyakit ganjil dan mula mempunyai kuasa yang tidak dapat dijelaskan oleh saintis secara umum. Setiap anak muda ini mempunyai tahap kuasa serta kebolehan yang berbeza dan diasingkan mengikut kemahiran mereka.

Kebanyakan anak-anak dipisahkan daripada keluarga serta ibubapa mereka kerana ditakuti akan membahayakan keselamatan penduduk planet Bumi (khasnya orang dewasa lain). Kanak-kanak serta remaja yang dianggap mempunyai kuasa yang akan mengancam dunia dibunuh serta-merta. Namun dalam kekecohan ini seorang gadis bernama Ruby Daly yang mempunyai kuasa luar biasa berjaya menyelamatkan dirinya daripada dibunuh dengan bantuan seorang dewasa yang ingin memperjuangkan kanak-kanak istimewa ini daripada menjadi mangsa presiden Amerika Syarikat yang berniat jahat.

Dalam proses melarikan diri Ruby bertemu beberapa orang remaja dan kanak-kanak lain yang juga mempunyai kuasa hebat yang sedang cuba mencari sebuah kem pelarian yang dikatakan selamat untuk remaja dan kanak-kanak berkuasa luar biasa.

Ruby juga mula jatuh cinta dengan salah seorang daripada mereka yang bernama Liam sambil diburu oleh pembunuh upahan serta pihak berkuasa.

Kisah percintaan Ruby dan Liam mengingatkan kepada watak Bella dan Edward dalam filem Twilight di samping jalan cerita yang menuntut mereka untuk menyembunyikan kuasa serta rahsia masing-masing.

Jika anda menyukai filem sains fiksyen yang turut menyelitkan sedikit unsur cinta dan remaja, filem ini mungkin pilihan anda. Namun terpulanglah kepada setiap pihak untuk menilai sendiri kehebatan filem ini.

The Darkest Minds sudah mula ditayangkan di semua pawagam seluruh Malaysia bermula 16 Ogos ini.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!