91279

The Mirza : Pasangan Kembar Mewarnai Dunia Muzik Malaysia - Suria FM - Segalanya Hiburan

 

Nama The Mirza yang merupakan formasi penyanyi kembar/duo, Zaf dan Syaf, masing-masing, 20, barangkali masih belum terbiasa meniti di bibir khayalak seni tanah air. Hakikatnya, dua sosok pembawa single, Jatuh-Jatuh Cinta itu berawal dengan memahat tapak sekali gus menjulang populariti di Indonesia terutama di Jakarta serta Bandung sejak awal tahun ini.

Dibentuk sekitar tahun 2017, The Mirza yang diangkat menerusi nama di belakang adik-beradik mereka (terrmasuk Norzafira Mirza Mohd. Rafiq dan Norsyafira Mirza Mohd. Rafiq) itu diterima dengan lapang dada oleh penikmat muzik bergenre pop R&B di negara seberang sehingga dianggap punya ciri khas tersendiri berbanding penyanyi sedia ada lain.

Sedikit pengenalan, pasangan beradik ini mula dikenali di platform atau medium sosial seperti YouTube, Instagram dan Twitter apabila sering memuat naik video nyanyian merdu saduran termasuk lagu biduanita negara, Saloma yang meraih tumpuan warganet baru-baru ini.

Berkongsi kisah perjalanan The Mirza, kedua-dua anak jati Kuala Lumpur itu mengaku agak mudah meloloskan diri ke persada hiburan Indonesia termasuk mengadakan siri jelajah persembahan di pelbagai pelosok daerah di sana disebabkan mereka adalah satu-satunya pasangan kembar memiliki wajah seiras.

“Semua berawal apabila kami ingin membikin single pertama, Telah Berubah. Kami berminat dengan lagu-lagu ciptaan komposer popular Indoensia, Tengku Shafick. Lantaran itu, kami merasakan tiada salahnya jika mahu terus berkarya di negara seberang tambahan pula belum ada penyanyi duo/kembar di sana.

“Selepas itu, The Mirza meneruskan langkah dengan menghadirkan single kedua, Jatuh-Jatuh Cinta yang merupakan gubahan oleh komposer dan finalis Indonesia Idol 2006, Ilham Irawan Basso. Alhamdulillah, rezeki menyebelahi apabila lagu tersebut meraih kedudukan carta lima terbaik di beberapa buah stesen radio di Jawa Tengah,” kata Zaf.

Tidak ketinggalan, Syaf menerangkan bahawa Jatuh-Jatuh Cinta hanya mengambil waktu 10 minit untuk disiapkan sepenuhnya dengan sesi rakaman berjalan selama 4 jam.

Sementara itu, proses adunan dan mastering dilakukan selama seminggu sebelum menjadi sebuah naskhah nan indah untuk diperdengar buat halwa telinga audiens.

Promosi Jatuh-Jatuh Cinta kini sedang rancak dijalankan di Malaysia yang diuruskan oleh syarikat pengurusan bakat/acara, SukaSucre Creatives (SSC) kepunyaan cef selebriti dan penyanyi terkenal, Dato’ Fazley Yaakob.

Mengakui sedikit gementar dalam ekspektasi melangkah ke belantara muzik tempatan, The Mirza menjelaskan, karya Jatuh-Jatuh Cinta yang terisi lirik bahasa Indonesia diharapkan senang menerima respons daripada peminat di sini.

“Tiada lain, The Mirza berharap pendengar dapat menerima single terbaharu mereka sepertimana ia diterima di Indonesia sekali gus mampu memeriahkan industri seni di tanah kelahiran kami.” jelas Syaf.

Video Muzik Jatuh-Jatuh Cinta boleh ditonton di laman YouTube (The Mirza) menerusi pautan ini; https://youtu.be/OKdW1emKNFY.

Peminat juga boleh mengetahui dengan lebih lanjut perkembangan terbaharu The Mirza dengan mengikuti mereka di Instagram; @themirzamusic, @syafmirza dan @zafmirza.

Sebelum menoktah bicara, The Mirza yang mengidolakan penyanyi terkenal Indonesia, Judika turut berkongsi ambisi tinggi melangit mereka kepada khalayak: “Besar harapan agar peminat terus menyokong karya seni kami baik di Indonesia mahupun Malaysia. Semoga impian melebarkan sayap ke negara lain juga dapat direalisasikan dalam tempoh lima tahun nanti.”

Waktu sama, grup duo itu kini sedang rancak mempromosikan single ketiga mereka, Lelah Mengalah di Indonesia dengan video muzik dimuat naik di YouTube (The Mirza) sejak 7 November lalu.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!