93974

TWICE Akhiri Penantian ONCE Di Kuala Lumpur - Suria FM - Segalanya Hiburan

Bagi mengubati rindu peminat mereka di Kuala Lumpur, artis Korea Selatan TWICE sekali lagi singgah ke Malaysia selepas pembatalan konsert TWICELAND ZONE 2: Fantasy Park di Kuala Lumpur pada tahun lepas.

Penganjuran konsert jelajah dunia TWICELIGHTS di Kuala Lumpur pada Sabtu lepas ternyata membuatkan penantian peminat mereka iaitu ONCE berbaloi.

TWICE yang dianggotai Nayeon, Jeongyeon, Momo, Sana, Jihyo, Dahyun, Chaeyoung dan Tzuyu, terpaksa melakukan persembahan tanpa ahli ke sembilan mereka iaitu Mina kerana masalah kesihatan dan masih tidak mampu membuat persembahan.

Tidak menjadikan ketiadaan Mina sebagai kepincangan dalam persembahan, TWICE membuka pentas dengan penuh bertenaga melalui lagu Stuck In My Head, Cheer Up dan Touch Down.

Suasana Axiata Arena meriah dengan kehadiran kira-kira 10,000 penonton yang kebanyakkannya terdiri daripada golongan lelaki yang turut bersorak dan mengikuti bait-bait lagu popular TWICE.

Memberi sedikit kelainan pada jelajah dunia tahun ini, persembahan TWICE dilihat lebih matang apabila menyampaikan lagu-lagu popular mereka seperti Dance The Night Away, Heart Shaker yang diubahsuai ke tempo yang lebih rancak.

Petang itu tambah rancak dengan persembahan tiga sub-unit TWICE yang menunjukkan bakat tarian mereka menerusi lagu Dance For You, Goodbye dan Born This Way. Bukan itu sahaja, TWICE turut mempersembahkan lagu ‘cover’ berbahasa Inggeris iaitu ‘I Want You Back’.

Bagi mengisi kekosongan untuk TWICE kembali ke pentas, peminat dihiburkan dengan video interaktif yang memerlukan penyertaan mereka dalam misi menari lagu TWICE dan melakukan gaya ‘heart’ atau ‘mini love’ bagi menunjukkan sokongan dan minat mereka terhadap TWICE.

Suasana dewan bertambah hangat apabila TWICE mempersembahkan lagu-lagu popular mereka seperti Likey, What Is Love, Like Ooh-Ahh, T.T dan Fancy.

Tidak ketinggalan lagu Signal, Knock Knock dan Stuck sebagai penutup konsert TWICELIGHTS di Kuala Lumpur.

Salah seorang ahli kumpulan TWICE iaitu Dahyun tidak dapat menahan sebak semasa memberikan komen terakhir kerana teringat kepada Mina yang tidak dapat menyertai mereka pada konsert di Kuala Lumpur. Malah, rata-rata mereka menyatakan permohonan maaf kerana membuatkan ONCE menunggu selama setahun sebelum kembali bertemu mereka pada malam itu.

Konsert anjuran IME Productions Sdn Bhd yang mempersembahkan 25 buah lagu dan berlangsung selama dua jam setengah itu ternyata memberikan memori manis kepada ONCE di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur merupakan lokasi terakhir konsert jelajah dunia TWICELIGHTS 2019 selepas ke lapan lokasi lain iaitu Seoul, Bangkok, Manila, Singapura, Los Angeles, Mexico City, Newark dan Chicago.

Kredit gambar: IME Productions Sdn Bhd

 

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!