88528

Tya Arifin Jual Jamu - Suria FM - Segalanya Hiburan

Pelakon Indonesia yang juga menantu tiri kepada Dato’ Sri Siti Nurhaliza iaitu Tya Ariffin telah mengembangkan sayapnya dalam bidang perniagaan apabila memilih untuk menjual jamu.

Dilahirkan di Indonesia dalam keluarga yang begitu mementingkan kesihatan dan kecantikan diri terutama menerusi amalan memakan jamu, aktres yang juga isteri kepada ahli perniagaan terkenal, Asyraf Khalid dilihat tidak mahu mempersiakan semua itu untuk diamalkan semua insan bernama wanita tanpa mengira peringkat umur terutama dari remaja dan seterusnya.

 

Malah dengan rasa takjub dan besar hati, ibu muda berusia 24 tahun kepada si cilik popular, Arif Jiwa Asyraf itu cukup bangga memperkenalkan rangkaian produk cecair jamu di beri nama Mutyara Beauty. Bahkan cuba melawan arus kebanyakan artis tempatan yang lebih gemar menjual produk komersial seperti tudung dan minyak wangi, si cantik ini optimis mengangkat jamu untuk dikomersialkan lebih jauh.

Mutyara Beauty hadir khas bagi mengubah skeptikal golongan wanita terutamanya yang melihat jamu hanya untuk santapan orang tua semata-mata.

“Kebiasaan dan selalunya ada stigma yang melihat jamu itu hanya untuk dijamah orang tua sahaja. Tak kurang juga yang melihat jamu hanya amalan bagi wanita selepas bersalin. Sedangkan khasiat semula jadinya itu bagus untuk semua wanita. Jika kita sendiri sebagai golongan wanita yang tidak menghargai semua itu, siapa lagi yang akan melakukannya.

“Saya sendiri menjadi pengamal jamu tegar. Saya lihat potensi jamu ini wajar dikomersialkan apatah lagi ia hasil resipi turun temurun dari keluarga. Saya tidak mahu khasiat jamu itu dibiarkan begitu sahaja sebaliknya ingin berkongsi dengan seluruh wanita di luar sana yang percaya betapa peri pentingnya amalan ini.

“Saya juga harap kehadiran Mutyara Beauty ini dapat mengubah pandangan skeptikal itu dan diperluaskan lagi penggunaannya untuk semua wanita. Mutyara Beauty khususnya boleh diminum oleh perempuan di usia 16 tahun, mereka yang belum berkahwin hingga seterusnya. Bahkan saya mahu lihat ia menjadi keperluan wajib untuk ibu muda seperti saya untuk menghargai diri dan orang tersayang dengan penjagaan dalaman diri,” katanya teruja.

Jelas Tya lagi, jamu Mutyara Beauty, juga dicipta seiring dengan arus pemodenan khusus buat golongan wanita masa kini yang sibuk bekerjaya dan memilih jalan mudah untuk kekal bertenaga serta cantik.

“Saya sendiri sudah terbiasa dibesarkan dalam keluarga yang menyukai jamu. Kalau dulu saya sendiri melihat ramuan jamu itu dicampur, ditumbuk, dikisar dan dikupas melalui cara tradisional. Tapi sekarang, saya buat jamu dalam bentuk cecair pekat yang memudahkan dengan harga mampu dimiliki terutama untuk generasi sekarang yang lebih gemar cara menyenangkan.

“Malah jamu ini juga akan menghakis skeptikal terhadapnya yang sering digambarkan pahit dan sukar ditelan. Sebaliknya jamu Mutyara Beauty dengan ramuan istimewa memudahkan proses menelan dan ia tidak pahit. Itulah uniknya jamu Mutyara Beauty yang akan menjelmakan rasa kemanis-manisan disebabkan oleh campuran buah ‘Cranberries’ demi sebuah kelazatan tersendiri tanpa prejudis.

“Ia juga mengandungi makan Sunnah seperti Habatus Sauda, kurma, madu dan halba,” katanya.

Malah berada dalam kelompok keluarga terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Izara Aishah turut mencuba jamu keluarannya.

“Mereka juga mencuba dan amat menyenanginya. Jamu saya ini tak pahit dan boleh ditelan. Saya yakin jamu Mutyara Beauty ini mampu diterima ramai dan menjadi pelengkap istimewa golongan wanita”, jelasnya.

Jamu Mutyara Beauty dihasilkan dengan ramuan istimewa bahan semula jadi serta campuran herba, kunyit, halia, akar serapat, Kacip Fatimah. Tak ketinggalan ia juga direka dengan campuran buah Delima dan Cayenne.

Patutlah cantik Tya Ariffin ni. Selalu amalkan jamu rupanya. Jadi kepada wanita di luar sana yang nak cantik seperti Tya, kenalah amalkan minum jamu selalu. Baru lah boleh pakai kebaya ketat!

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!