72197

Wany Hasrita Nak Jadi Pensyarah - Suria FM - Segalanya Hiburan

wani-hasrita

Namanya mungkin agak baru dalam dunia seni suara, namun rezekinya di bidang hiburan kelihatan semakin murah sejak bergelar artis rakaman. Bermula sebagai seorang penggemar aplikasi Smule, nyanyian Wany Hasrita akhirnya mencuri perhatian beberapa pihak termasuklah syarikat rakaman FMC.

Kini lagunya yang berjudul “Menahan Rindu” sering berkumandang di corong-corong radio dan menjadi siulan anak-anak muda. Jika melihat senario dunia muzik tempatan masa kini, Wany Hasrita boleh dianggap sebagai seorang penyanyi berpakej lengkap dengan suaranya yang lemak merdu serta wajahnya yang ayu. Ini ditambah pula dengan penampilannya yang sopan bertudung serta tingkat pendidikannya di bidang sains perubatan, mengukuhkan lagi imejnya sebagai seorang penyanyi berwibawa.

Ketika ditemui pihak Suria baru-baru ini, Wany memberitahu yang dia baru sahaja menyelesaikan semester akhirnya dalam bidang Sains Perubatan di Management & Science University (MSU) di Shah Alam. Kala ditanya apakah yang ingin dia lakukan sesudah mendapat ijazah dalam bidang tersebut, beliau menjelskan yang dia mahu meneruskan pengajiannya di peringkat yang lebih tinggi.

“Wany sebenarnya ada menyimpan hasrat untuk menjadi pensyarah. Oleh kerana itu, sesudah ini Wany ingin menyambung pengajian di peringkat sarjana. Ini kerana Wany tahu pengajian di peringkat tersebut tidak memerlukan komitmen waktu yang banyak berbanding zaman ijazah dulu. Jadi dengan cara itu, saya boleh memberikan fokus yang lebih kepada bidang nyanyian,” jelas Wany.

Saat ditanya tentang perkembangan terbaru pula, Wany memberitahu yang dia bakal merakam demo untuk lagu solonya yang kedua.

“Buat waktu ini Wany sedang mempromosikan lagu duet terbaru dengan Tajul, adik kepada Achik Spin, yang juga artis di bawah syarikat FMC. Selain itu saya juga bakal merakam demo untuk lagu solo saya yang kedua,”ujar Wany mengakhiri wawancara.

Biarpun sudah menandatangani kontrak selama lima tahun dengan syarikat rakaman FMC, Wany berharap yang dia dapat menggunakan kelulusannya di masa hadapan untuk bergelar pensyarah, seiring dengan statusnya sebagai penyanyi.

 

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!