72286

Winnie K dan Aanantha Datang Beri Sokongan Untuk The Eye Project - Suria FM - Segalanya Hiburan

Kita sebagai rakyat Malaysia memang bertuah kerana hidup dalam sebuah masyarakat berbilang bangsa. Biarpun berlainan budaya, tapi rakyat Malaysia tidak pernah mempunyai masalah untuk saling membantu. Begitu juga dalam dunia hiburan, bukan selebriti dari kalangan masyarakat Melayu sahaja yang sering memberikan sokongan untuk projek-projek amal tetapi juga rakan-rakan artis berlainan bangsa.

Terbaru, penyanyi Winnie K yang terkenal dengan lagu ‘Kau Ada Di Mana’ dari drama ‘Mertua Vs Menantu’ satu ketika dulu, serta penyampai radio dan pengacara TV rancangan Tamil, Aanantha telah datang untuk memberikan sokongan mereka buat sebuah projek amal yang melibatkan kerjasama di antara The Eye Shop Optometry dan juga Yayasan AIDS Malaysia.

Di bawah projek tersebut The Eye Shop Optometry bersetuju untuk menderma 400 pasang kaca mata kepada mereka yang hidup dengan HIV di bawah rumah-rumah perlindungan naungan Yayasan AIDS Malaysia di seluruh negara. Sumbangan yang bernilai sekitar RM170,000 itu dapat membantu penghuni rumah-rumah perlindungan ini yang hidup dengan HIV dan tidak mampu membeli atau menampung kos pembikinan kaca mata.

Menurut Pengarah Urusan dan Pakar Optometri The Eye Shop Optometry, Puan Fairuz Sulaiman tergerak untuk membantu kanak-kanak yang hidup dengan HIV ini kerana dia sempat bertemu dengan salah seorang daripada mereka secara kebetulan, dan kanak-kanak tersebut mempunyai masalah penglihatan yang agak serius namun tidak mampu menampung kos untuk membeli cermin mata. Oleh kerana itu, dia terus bersetuju untuk melaksanakan projek ini.

Di pelancaran projek kerjasama ini, dua orang Selebriti Sokongan Riben Merah di bawah Majlis AIDS Malaysia iaitu Winnie K dan Aanantha telah hadir ke Rumah WAKE,  yang juga salah satu rumah perlindungan di bawah Yayasan AIDS Malaysia untuk memberikan sokongan. Mereka juga sempat melakukan ujian mata dan beramah-mesra dengan kanak-kanak di rumah perlindungan tersebut.

 

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!