87582

Yuna Pernah Disuruh Buka Tudung Untuk Jadi Artis Rakaman - Suria FM - Segalanya Hiburan

Siapa yang tidak kenal dengan Yuna, salah seorang penyanyi Malaysia yang paling dikenali dan sudah hampir sedekad mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Malah, dia juga sangat disukai kerana imejnya yang berhijab dan sopan. Namun begitu pasti ramai yang tidak tahu bahawa penyanyi dan penulis lagu berbakat ini suatu ketika dahulu pernah disuruh untuk menanggalkan tudungnya sekiranya ingin menjadi artis rakaman.

“Saya tidak pernah menceritakan kisah secara lengkap ini tetapi pernah satu saat dulu saya diberi tawaran untuk menjadi artis rakaman, dan wakil syarikat tersebut memberitahu bahawa jika saya ingin maju ke peringkat antarabangsa sebagai artis rakaman, saya harus membuka hijab saya.

Ketika itu saya berfikir, haruskah saya mengorbankan prinsip dan kepercayaan saya untuk semua ini. Namun saya sedar bahawa itulah detik yang paling mencabar buat diri saya kala diberi ujian oleh Tuhan. Namun Alhamdulillah, saya tetap berpegang teguh kepada prinsip dan kepercayaan saya hingga kini, ” jelas Yuna kala ditemui di pelancaran kempen #wanitabesi anjuran Pantene yang juga mengumumkan Yuna sebagai duta terbaru jenama mereka.

Kempen tersebut menampilkan sebuah filem pendek yang menceritakan kisah benar Yuna dan beberapa ‘wanita besi’ lain yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang hidup mereka dari kecil hingga dewasa.

Ia sempat juga memaparkan sedikit kisah benar yang terjadi kepada Yuna seperti yang diceritakannya di atas.

Isteri kepada Adam Sinclair ini juga sempat berkongsi pengalamannya beraya pada hari pertama sebagai isteri di lapangan terbang Tokyo kala berada dalam transit sewaktu perjalanan pulang dari Los Angeles ke Malaysia minggu lalu.

“Waktu saya dan Adam berada di Jepun kami lihat semua orang di media sosial sudah mula berkongsi gambar raya masing-masing sedangkan kami masih dalam transit perjalanan pulang. Tapi Alhamdulillah akhirnya sampai juga dan pada hari raya kedua dan ketiga kami sempat melawat ahli keluarga masing-masing,” tambah Yuna lagi.

Yuna juga memberitahu yang dia bakal muncul dengan album Inggeris terbaru hujung tahun ini.

Syabas Yuna kerana kekal teguh dan kami di Suria mendoakan Yuna akan terus berjaya di persada antarabangsa.

 

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!