90039

Zynakal Bakal Saingan BBNU, Lancar Single Pertama Di Colombo - Suria FM - Segalanya Hiburan

Penyanyi baru Zynakal telah melancarkan single pertama nyanyiannya berjudul ‘Terbang’ di Colombo Sri Lanka pada 19 September 2018 yang lalu.

Terbang dicipta oleh gabungan penyanyi Sufian Suhaimi, Faiz Ruzaini, Alabbas dan lirik oleh Zynakal sendiri turut dilancarkan ke saluran Youtube pada hari yang sama.

 

Sebelum muncul sebagai penyanyi, Zynakal terlebih dahulu mencipta lagu buat rakannya seperti Ismail Izzani, Haqiem Rusli dan Aiman Tino.

Ditanya kenapa dia mengambil masa yang lambat untuk muncul sebagai penyanyi berbanding rakan-rakannya yang lain, kata Zynakal dia sering berasa kurang yakin dengan diri sendiri kerana merasakan dirinya tidak mempunyai pakej yang lengkap sebagai seorang artis.

“Pada mulanya saya rasa kurang yakin dengan diri sendiri, namun rakan-rakan saya banyak memberikan semangat untuk saya teruskan sebagai penyanyi. Sewaktu saya tulis lagu untuk rakan-rakan saya dulu, populariti mereka sedang naik mendadak. Jadi saya memberi peluang untuk mereka untuk naik dan saya cuba membantu mereka dengan menulis lagu“, jelasnya.

Melancarkan single yang pertama di luar negara, membuatkan ramai yang mempersoalkan apakah relevannya untuk artis baru sepertinya melakukan perkara sebegini sedangkan namanya masih begitu hijau. Namun Zynakal ada sebabnya yang tersendiri.

Sebenarnya saya sangat suka mencuba benda yang baru. Apa yang saya lihat dari kawan-kawan saya yang lain, mereka lancarkan lagu di Malaysia. Jadi cara saya untuk membuka mata orang adalah dengan cara sebegini”, ujarnya.

Zynakal juga menafikan dakwaan bahawa dia sebenarnya adalah anak orang berada kerana mampu melancarkan single di Sri Lanka.

“Saya tidaklah kaya. Sebenarnya ini adalah usaha saya sendiri untuk cari penaja dan datang kesini“, terangnya.

Menyedari kekurangan diri yang kurang kacak dan ‘jambu’ berbanding rakan-rakan seperjuangannya yang lain, sebab itu jugalah Zynakal mengambil keputusan untuk terbang ke Sri Lanka demi membuat kelainan.

Bila kita ada kekurangan, kita kena cari kelebihan kita dari sudut yang lain. Jadi kelebihan yang saya boleh buat adalah datang ke Sri Lanka untuk lancarkan single Terbang ini”, luahnya.

Biarpun tidak memiliki rupa paras yang tampan seperti rakan-rakannya yang lain, namun itu tidak bererti Zynakal tidak mempunyai peminatnya sendiri. Buktinya pengikut di akaun Instagramnya sudah hampir mencecah 100 ribu pengikut.

Malah lagu Terbang yang dilancarkannya juga mendapat jumlah tontonan sebanyak 10 ribu dalam masa satu jam di Youtube. Sehingga ke hari ini video muzik ‘Terbang’ sudah mencatat jumlah tontonan sebanyak hampir 700 ribu selepas 4 hari dilancarkan.

Tahniah diucapkan kepada Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Razqi Rosli. Semoga kerjaya nyanyian Zynakal serta lagu ‘Terbang’ akan berjaya mendapat tempat di hati peminat muzik tanah air. Jom layan muzik video ‘Terbang’ di sini.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!