87999

Bukan Diculik, Tetapi Bayi Disimpan Dalam Peti Ais - Suria FM - Segalanya Hiburan

Meruntun jiwa, itulah yang boleh SURIA simpulkan untuk menjelaskan perasan kami apabila membaca berita bayi yang dikatakan diculik di rumah pengasuhnya sebenarnya sudah meninggal dan disimpan di dalam peti ais di rumah pengasuhnya sendiri.

Menurut laporan yang dikeluarkan akhbar Harian Metro, bayi lelaki yang berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi, ditemui sudah meninggal dunia di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, Gombak.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, mayat Adam Rayqal ditemui kira-kira jam 11 malam tadi dan disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak yang membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.

Katanya, mayat bayi berkenaan ditemui lengkap dengan pakaian namun berbalut kain napkin dan disumbat dalam beg berwarna hijau.

“Mayat Adam Rayqal ini ditemui selepas siasatan polis mendapati terdapat keraguan dalam keterangan pengasuhnya.

“Polis kemudian membawa pengasuh berkenaan ke rumahnya sebelum ditunjukkan lokasi mayat bayi itu disimpan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Nakhoda.

Menurut Ali, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis menahan dua suspek iaitu pengasuh yang berusia 33 tahun serta rakan serumahnya yang berusia 36 tahun.

“Mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya

Sebelum ini, media melaporkan kehilangan bayi berkenaan dipercayai dilarikan individu tidak dikenali dari rumah pengasuhnya, petang semalam.

Bapa bayi itu, Mohd Sufi, 28, turut memuat naik gambar Adam Rayqal di laman sosial miliknya meminta orang awam membantu mengesan anaknya itu.

Menurut pendedahan yang dilakukan netizen di Facebook, pengasuh berkenaan dikatakan sempat mencari anak asuhan yang baru di Facebook selepas kejadian itu.

Apalah dosa bayi itu sehingga diperlakukan dengan sedemikian rupa? SURIA yidak dapat membayangkan perasaan kedua ibu bapa bayi berkenaan yang baru sahaja menghantar anak mereka selama seminggu kepada pengasuh itu.

Semoga balasan yang setimpal diberikan kepada individu yang telah menyebabkan kematian bayi yang tidak berdosa. Sama-sama kita sedekah Al-Fatihah kepada arwah dan doakan semoga ibu dan bapa mangsa kuat menghadapi ujian Allah ini.

 

Sumber : Harian Metro

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!