Atlet para negara Mohamad Rizuan Puzi dan Abdul Latif Romly telah mengharumkan nama Malaysia di Sukan Para Asia apabila berjaya mencipta rekod dunia yang baharu dalam acara masing-masing sekaligus meghadiahkan pingat emas buat negara.

Mohamad Ridzuan mencatat masa 11.87 saat dalam acara 100m T36 lelaki, sekali gus memadam rekod terdahulu 11.90 saat yang dicipta atlet Rusia, Evgenii Shvetcov pada Kejohanan Paralimpik Dunia IPC di Lyon, Perancis pada 2013.

Abdul Latif turut mempamerkan aksi memukau dengan memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri dalam acara lompat jauh T20 lelaki.

Atlet tinggi lampai itu melakukan lompatan sejauh 7.64 meter, sekali gus memadamkan rekod terdahulu miliknya, 7.60 meter yang dilakar pada Sukan Paralimpik Rio 2016 di Brazil.

 

Mohamad Ridzuan yang ditemui pemberita Malaysia selepas acara berkenaan nyata berbangga dapat memecahkan rekod dunia dalam acara berkenaan.

“Dik Wan nak ucapkan terima kasih kepada jurulatih, Majlis Paralimpik Malaysia, Institut Sukan Negara serta ibu bapa Dik Wan yang banyak beri sokongan dan kemenangan ini untuk mereka semua,” katanya.

Pandangan sama turut disuarakan Abdul Latif yang tidak menyangka dapat memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri dalam acara berkenaan memandangkan beliau menerima saingan sengit daripada peserta lain.

“Syukur, Alhamdulillah dan ini di luar jangkaan, namun saya gembira kerana berjaya mempertahankan pingat emas dan perbaharui rekod dunia milik saya sendiri,” luahnya gembira.

Tahniah SURIA ucapkan kepada dua wira negara yang telah mengharumkan nama negara di mata dunia. Tahniah juga dicuapkan kepada semua atlet Para negara yang berjuang bermatia-matian untuk mengharumkan nama negara.

Sumber : Bernama

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!